|
Welcome
Assalamualaikum, Welcome to my blog. Bila engkau letih & hilang semangat, ALLAH tahu engkau telah mencuba sedaya upaya. Bila tangismu berpanjangan & hatimu duka, ALLAH telah mengira titis air matamu. Bila engkau rasa ketinggalan & dan masa meninggalkanmu, ALLAH tetap bersamamu. Bila engkau kebuntuan akal, maka ALLAH adalah penunjuk jalan... apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada ALLAH... Tagboard
ShoutMix chat widget Links
My New Blog
Sanzekoh
Rozaimims
NurulAzreen
Zueeazueen
Asgroughazizi
Hujimy
Eksperimentasisanubari
Nurhafizahxoxo
Gui2kays
KelvinChoo
AiniAzhari
Mybookshops
chanyangtze
che-safrasulaiman
Lovieda-redneval
Seri Serindit
SheauTian
Putra_Pu3
Archives
April 2007June 2007 July 2007 August 2007 September 2007 December 2007 January 2008 February 2008 March 2008 April 2008 May 2008 June 2008 July 2008 August 2008 September 2008 October 2008 November 2008 December 2008 January 2009 February 2009 March 2009 April 2009 May 2009 June 2009 Recent
Salah dan silap harap dimaafkan... Sekitar Raya... Suasana Raya... Selamat Hari Raya I Believe I Can Fly!!! Menyesal dan Selamat Tinggal Teng's Birthday 18 hanya angka, 18 tahun hanya kiraan. KLCC 3 KLCC 1 Music
![]() ![]() Gratisan Musik Credits
This skin is produced by Headlight Productions. The icons are from Three More Steps. All codes are meticulously hand-coded, and can not be used as basecodes or reference. All css and javascript in the code passes validation.© Copyright Headlight 2008 - Forever. All Rights Reserved. |
//Tuesday, October 7, 2008 4:12 PM
Pilu Rai Aidilfitri di Tengah Lautan
RENCANA
Oleh Azrul Affandi Sobry azr@bharian.com.my Pekerja pelantar gas hiba isteri, anak tiada di sisi sambut lebaran. BAGAI lilin, membakar diri sendiri demi menerangi orang lain. Pedihnya memang terasa, sakitnya memang tak terkata, tetapi pengorbanan tetap harus dicurahkan sentiasa demi memastikan orang lain dapat mengecapi kemudahan tambahan di ketika sangat memerlukan. Lebih menyesakkan rasa apabila pengorbanan itu berbentuk menyambut Aidilfitri jauh daripada keluarga, bukan sebatu dua, tetapi beratus kilometer di tengah lautan, sekadar bertemankan bunyi ombak dan bising enjin yang sama saban hari. Jika orang lain ceria melihat kilauan lampu pelita yang semakin bergemerlapan pada malam raya, melihat rumah jiran kiri dan kanan berhias indah pada pagi raya, lain ceritanya apabila mereka hanya mampu melihat hamparan laut luas tanpa bayang daratan, menjadikan hari raya begitu sunyi di lubuk jiwa. Begitulah senario yang terpaksa dihadapi kebanyakan pekerja di pelantar gali minyak dan gas di tengah lautan. Bagi mereka hari raya seperti hari-hari lainnya kerana operasi mesti diteruskan bagi memastikan bekalan bahan bakar itu tidak putus. Senario yang sama dikongsi pekerja pelantar gas di Lawit, Terengganu apabila Aidilfitri kali ini sama seperti sebelumnya, sekadar menyambutnya ala kadar bersama rakan di pelantar, namun kemeriahannya tetap cuba dirasa supaya sebak di dada tidak terlalu menusuk. Berada 240 kilometer di tengah lautan, kebanyakan pekerja di situ bukan baru kali pertama menyambut Aidilfitri di pelantar, malah ada di kalangan mereka sudah lali dengan situasi itu lantaran terlalu kerap berhari raya tanpa keluarga di sisi. Bagi mereka, rutin pekerjaan yang dijadualkan dengan 14 hari di pelantar dan 14 hari lagi diberi cuti untuk bersama keluarga di daratan perlu disempurnakan tanpa perlu ada keluh kesah lagi, meskipun terpaksa akur syif kerja mereka jatuh pada hari raya. Tidak ada istilah henti operasi bagi pengeluaran gas kerana di Lawit, mereka perlu terus bekerja bagi memastikan setengah juta rumah di Malaysia diterangi setiap masa dan tidak berdepan masalah gangguan bekalan apatah lagi pada pagi raya. Menjadikan sambutan hari raya di Lawit lebih memilukan kerana berbeza dengan pelantar lain yang nisbah pekerja mengikut bangsa agak seimbang, di situ lebih 90 peratus pekerjanya adalah Melayu - Islam, sekali gus menjadikan pagi raya diselubungi tangis hiba. Bagi menyelami pengalaman dan rasa hati mereka, wartawan Berita Harian meluangkan masa bersama mereka pada hari raya, melihat bagaimana sambutan Aidilfitri diraikan di tengah lautan bersama lebih 80 rakan setugas. Ternyata, meskipun jauh di lubuk hati mereka terpendam rasa rindu yang sangat mendalam terhadap keluarga tercinta, kemeriahan Aidilfitri masih dapat dirasa apabila rutin hari raya seperti orang lain tetap dilaksanakan dengan bersama-sama menunaikan solat Aidilfitri, bertakbir, bermaafan dan menjamu selera dengan kuih-muih, tak ubah seperti di daratan. Namun, apabila beberapa pekerja di situ ditemu bual, terasa sebak di dada melihat genangan air mata, tambahan apabila menceritakan pengalaman bertahun-tahun beraya tanpa pelukan isteri dan tawa manja anak. Pekerja selenggara, Sulaiman Shamsudin, 55, yang berpengalaman 12 kali beraya di pelantar mengakui betapa dia sudah terbiasa dengan rutin beraya di situ dan akur dengan tuntutan tugas untuk memastikan operasi pelantar gas mesti diteruskan tidak kira masa. “Memang diakui, masa tahun pertama beraya di sini, rasa sedih memang tak terkata. Jauh dari keluarga. Bagaimanapun, selepas memikirkan karier ini adalah pilihan diri sendiri untuk berada di tengah laut, terpaksalah saya terima hakikat itu. “Kini, sudah tak rasa apa sangat. Melihat anak membesar tanpa peluang kerap beraya dengan saya menjadikan semua itu biasa. Anak pun macam sudah tak kisah. Dia macam sentiasa bersedia dengan kemungkinan beraya tanpa saya tiap tahun,” katanya yang dikenali sebagai Wak di situ dan mempunyai seorang anak di Perak. Bagaimanapun, Sulaiman berkata, meskipun dia kerap berhari raya di pelantar, persiapan hari raya untuk keluarga tetap dijalankan seperti ibu bapa lain, cuma ia terpaksa dilakukan awal untuk memastikan isteri dan anak dapat menikmati suasana hari raya seperti orang lain. Menceritakan pengalamannya melihat senario pada pagi raya, katanya hampir setiap kali hari raya akan ada pekerja baru yang berkurung di bilik kerana gagal menahan kesedihan melihat sambutan Aidilfitri dibuat di tengah lautan. Bagi Ketua Tukang Masak, Hanizul Hamzah, 46, yang bekerja di situ sejak 1996 dan tidak pernah berpeluang berhari raya bersama keluarga sejak itu begitu mengimpikan sambutan Aidilfitri seperti orang lain yang dapat mengucup dahi isteri dan menyambut kemaafan anak-anak pada pagi raya. Namun, menyelimuti kesedihannya itu ialah rasa gembira melihat pekerja di pelantar berselera menjamah hidangan disediakan, tertawa gembira ketika memilih menu yang pelbagai dan istimewa pada hari raya. “Pagi raya, menunya memang istimewa. Awak boleh tengok sendiri, pelbagai juadah disediakan untuk mendekatkan pekerja di sini dengan suasana sebenar berhari raya. Ketupat, lemang, dodol dan tapai adalah menu wajib,” katanya sambil menyediakan juadah untuk hari raya. Sebagai warga paling lama di pelantar Lawit, Hanizul menjadi antara pekerja paling disegani rakan lain dan situasi itu jelas kelihatan apabila dia mengimamkan solat Aidilfitri sekali gus menjadi rujukan kepada pekerja baru yang mahu meminta nasihat jika tidak mampu menahan kesedihan. Pekerja mekanikal, Nazman Muhammad, 35, mempunyai cara tersendiri bagi memastikan suasana hari raya di kampung dapat dinikmati apabila ada peluang bercuti selepas bertugas di pelantar pada pagi raya. “Meskipun saya pulang ke kampung selepas hari raya ke-10, saya akan minta ibu dan isteri masak balik semua hidangan hari raya seperti pagi raya. Saya akan jemput rakan dan saudara mara datang beraya. Sekurang-kurangnya, saya dapat tempias apa yang mereka rasa pada pagi Aidilfitri,” katanya yang mengakui rindukan masakan ibu setiap kali hari raya. Apapun, suasana hari raya di pelantar tetap tidak sama dengan di kampung kerana meskipun menunya istimewa, disulam dengan pakaian yang menggambarkan hari raya, tetapi pastinya tidak akan dapat menyamai keseronokan beraya di sisi orang tersayang, kaum keluarga. |
|
|

